KUALA LUMPUR: Makanan kegemaran masyarakat Cina, bak kut teh, yang pertama kalinya disediakan dengan menggunakan resepi halal boleh dinikmati di karnival "Fabulous Food 1Malaysia" di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 18 hingga 20 Disember ini.
Pengarah projek dan perhubungan awam Expomal International yang menganjurkan karnival itu bersama-sama Pelancongan Malaysia, Eileen Chew, berkata ia akan disediakan oleh chef eksekutif Hotel JW Marriot di sini, Zaffar Abdul Samad untuk 300 pelanggan setiap hari.
"Seperti makanan tradisi masyarakat Melayu iaitu nasi lemak yang boleh dinikmati oleh semua rakyat Malaysia, kami juga mahukan makanan tradisi popular masyarakat Cina ini mampu dirasai oleh kaum lain," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Hidangan halal itu akan menggunakan ayam, makanan laut dan sayur-sayuran yang akan dimasak dengan 10 jenis herba seperti anjalika, bunga cengkih dan kulit oren. - Bernama
No comments:
Post a Comment